Saturday, 18 May 2013

Penyair Sabah Sertai Hari Puisi Nasional di Pulau Pinang




 Disiarkan oleh  Utusan Borneo Ahad, 10 Mei 2013

Saya tiba ke Pulau Pinang sehari sebelum pendaftaran Hari Puisi Nasional (HPN) ke 19 di Pulau Pinang. Di Lapangan terbang domestik Kota Kinabalu, saya bertemu dengan beberapa penulis Sabah mewakili Persatuan Badan Bahasa Sabah (BBS), sementara yang lain mewakili  Persatuan Ikatan Penulis Sabah (IPS) akan berangkat esok. Hari Puisi Nasional ke 19, bermula pada 10, 11, dan 13 Mei 2013, anjuran GAPENA (Gabungan Penulis Nasional), di Vistana Hotel.
Ada 22 gabungan persatuan-peratuan penulis seluruh negera bergabung dengan  GAPENA. BBS adalah badan kerabat GAPENA. Yang di Pertuan IPS telah memohon untuk menjadi  badan kerabat GAPENA, tapi GAPENA masih menolak permohonan itu. Sementara itu Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan ( PERWILA ) adalah badan kerabat GAPENA.
Ketika perwakilan IPS mendaftarkan diri, terjadi sedikit kekeliruan kerana IPS bukan badan kerabat GAPENA. Cik Azridah PS Abdi, Sifu Art dan Puan Lya Zam  telah mengalami masalah pada hari pendaftaran. Tapi permasalahan itu dapat diatasi dengan bantuan Dr Saleeh Rahamad, Pengerusi PENA.

Peserta-peserta HPN ke 19, datang dari seluruh negeri. Negeri Sabah mengirimkan antara lain Sabahuddin Senin, Juri Durabi, Ramli AR, Jasni Matlani, Lya Zam, dan Azridah PS Abadi.

Penerima Anugerah Penyair Gapena 2013, ialah Tuan Rahman Shaari, Tuan Jamaludin D dan Tuan A. Rahim Abdullah.

Antara acara-acara selain deklmasi puisi dan pembentangan kertas kerja oleh Dr Zurinah Hassan, Prof Madya Lim Swee Tin, Prof.Dr,Ir.Wan Abu Bakar Wan Abas, Dr Shamsuddin Othman, Kemala, Jasni Matlani, para penulis dan penyair dari negeri-negeri dapat bertemu secara santai dan bertukar fikiran.

Dalam sessi, peranan penyair-penyair web dan penghasilan karya kreatif seperti puisi yang meluas. Prof.Dr,Ir.Wan Abu Bakar Wan Abas melalui e-Sastera FB menyediakan  anugerah kepada pengkarya-pengkarya puisi yang terbaik. Prof Madya Lim Swee Tin berpendapat, perlu penulis atau penyair mencipta namanya sebagai seorang penulis dan penyair di layar seperti FB. Menurut Prof Madya Lim Swee Tin, terdapat penyair-penyair web atau FB mendapat Anugerah Sastera Perdana. Dan penjualan e-book lebih baik mencapai sampai 25,000.

Sedang Dr Shamsuddin Othman membantah, menurut beliau karya-karya yang tersiar di layer web dan FB bukanlah karya puisi dan kreatif.

Malam Sabtu, ada acara deklmasi Puisi di Padang Kota, Pulau Pinang. Malam itu  antara penyair yang turut mendeklmasikan puisi-puisi mereaka seperti Asmira Suhadis, Sifu Art, Zurinah Hassan, Kembara Klub Penyair & Deklamator Gapena, penyair Asterawani, penyair Perwila, penyair Pekasa, dan penyair Putera

Antologi Puisi Sempena Gema Membelah Gema 17 di selenggarakan oleh Hamzah Hamdani telah dilancarkan pada Hari Puisi Nasional ke-19.  Penyair Sabah yang puisinya terdapat di dalam antologi ini ialah Azridah PS Abadi, Dayangku Mastura, Jasni Matlani, Jun Irnanis, Norjannah MA dan Sitti Rahmah G. Ibrahim.

Hari Ahad, 12 Mei 2013,  mesyuarat Agung GAPENA yang ke 42. Antara lain Majlis penyampaian replika 7 PERKARA WASIAT RAJA-RAJA MELAYU untuk disimpan oleh GAPENA pada Mesyuarat Agung Gapena ke-42.


Sunday, 11 November 2012

Konvoi Kembara Bahasa yang mengilhamkan oleh Sabahuddin Senin



Kembara Bahasa Peringkat Negeri Sabah dari 31 Oktober sampai 5 November, 2012, adalah merupakan Konvoi Kembara Bahasa antara tujuan lain memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang mampu menjadi wadah perpaduan bangsa di negara ini.

Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 dan Pelepasan Konvoi Kembara Bahasa (PKKB) Peringkat Negeri Sabah ini dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah. Dan turut dihadiri Ketua Pengarah DBP Malaysia, Datuk Dr. Haji Awang Sariyan.

Konvoi Kembara Bahasa Peringkat Negeri Sabah diketuai oleh Pengarah, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Haji Jamaluddin Sulong.

Ketika Sdr. Awang Karim Kadir menyebutkan nama saya termasuk dalam daftar antara nama-nama penulis dan took-tokoh Sastera Budaya negeri Sabah, saya merasakan satu penghormatan yang cukup besar. Peluang bersama dengan rakan-rakan pejuang bahasa, sastera dan budaya ini membuka halaman baru dengan membina dan menggalakkan terutamanya dari kalangan generasi baharu.

Setelah pelancaran PKKB, saya sempat bertemu bual dengan beberapa tokoh-tokoh
Penulis. Kehadiran teman-teman seperjuangan seperti Sdr Ramli AR, Cik Siti Rahmah G. Ibrahim, Sdr  Jasni Matlani, dan Sdr  Awang Karim Kadir (sekadar menyebut berapa nama). Pegawai-pegawai DBP Cawangan Sabah memperlakukan kami dengan baik dan  ramah-tamah.

Sebelah petang setelah salat dzohor, Konvoi Kembara Bahasa (KKB) berlepas dari bangunan DBP, Cawangan Sabah. Dalam konvoi itu, ada perwakilan dari RTM, pegawai-pegawai DBP, golongan penulis dan tokoh sastera dan budaya. 7 kenderaan termasuk kereta Van dan kerata Land Cruiser . Di depan sekali  ada 2 motor polis trafik, atau kereta polis yang mengiringi KKB ke seluruh tempat-tempat yang dilalui.

Misi yang pertama ialah Kudat. KKB tiba di Kudat kira-kira pukul 5 petang. Kami bermalam di Hotel Ria. Saya sempat berbual dengan Sdr Juri Durabi dan Sdr Ameni Gawis. Kami ditempatkan di hotel dua bilik. Inilah peluang saya mengikat semula persaudaraan baik dengan teman-teman seperjuangan. Kegiatan-kegiatan penting dan bersejarah ini adalah merupakan satu landasan memperhebatkan semangat dan perjuangan.

Ketika usia remaja, saya menginjak kota Kudat pada awal  tahun 70’an.  Inilah pertama kali saya berada di Kudat melalui jalan laut. Pertama kali berdepan dengan gelombang laut dari Sandakan ke Kudat. Sejak muda saya memang tertarik dengan
Negeri dua gading dan kepulauannya. Justru itu, saya merakamkan pengalaman itu dalam beberapa puisi saya mengenai Kudat dan Pulau Banggi.

Malam pertama di Kudat, program acara pada malam itu telah pun disiapkan melibatkan pelajar-pelajar, anggota polis dan sukarelawan, grup tari tempatan, dan artis-artis berbakat asal Kudat. Sekalipun ‘tamu kudat’ telah dibuat pada malam sebelumnya, tapi kehadiran penonton dan penduduk setempat mencantikkan program  pada malam itu.

Pemimpin politik setempat dan ADO juga dipanggil hadir, selain
memeriahkan malam Kembara Bahasa 2012, di Dataran Tomborungus, Kudat,  ada acara-acara deklamasi puisi, pementasan tari, dan nyanyian lagu oleh artis setempat.

Awang Karim Kadir memperkenalkan saya, sahabat penyair yang lama saya tak bertemu. Beliau seorang guru dan penyair yang baik, Sdr Muhammad Zain AH. Pertemuan ini telah melahirkan inspirasi saya menulis sebuah puisi yang berjodol
“Penyairku, masih ada kilatan menembus sukma (dedikasi kepada konvoi Kembara Bahasa 2012.”

Pertemuan dengan penyair, Sdr Muhammad Zain A.H., walaupun singkat tapi kerinduan yang terpisah  belasan tahun ini memberikan harapan pada perjuangan
tak ada akhirnya. Sekalipun peluang berbual jauh ke malam tak mengizinkan, tapi dalam sedikit waktu salaman dan perbualan memperbaharui lagi persahabatan dan semangat pengorbanan yang tak ada taranya dari kalangan tokoh-tokoh sastera dan budaya demi kemajuan pengembangan Bahasa Melayu, bahasa kebangsaan. Lintasan KKB telah memberikan tenaga dan semangat baru kepada pengiat-pengiat sastera dan budaya.

Malam itu, Sdr Awang Karim Kadir, naik ke atas pentas, menyemarakkan program malam dengan puisinya, “Membebat Luka Sejarah”, , dari audio CD, “Suara Penyair album.”

Penyairku, masih ada kilatan menembus sukma (dedikasi kepada Konvoi Kembara Bahasa 2012)


Langkah ini tak seberapa jauh
sekalipun begitu, telukmu damai
melihat senja turun berendam.

Aku melihat lautmu tenang
kerana di situ ada suaramu.
Kerinduan ini adalah kerinduan
seorang sahabat.
Kerinduan ingin mendengar
syair-syair dan puisi-puisimu.

Meskipun pantaimu
telah banyak berubah
langitmu masih tetap
menurunkan kata-kata
dan bait-bait yang indah.
 
Dari seribu malam
malam ini terpilih
aku bersua muka denganmu,
penyairku.
Rambutmu masih keterampilanmu
hanya wajahmu barangkali
gunung yang tersayat
tapi, suaramu masih menerobos
ke dalam sukma hingga ke galaksi
dalam impian kejora.

Ketika aku menjabat tanganmu
genggamanmu lemah.
"Kau sakit penyairku?"

Tak ada pesanan dari wajahmu
tapi dari matamu
ada kilatan yang menembus sukma.

Bahasamu, bahasa penyair
kerinduanmu adalah kerinduan
langit dan bumi
dari sukma yang satu.

Kudat
1 November, 2012

Esok, awal pagi, kira-kira 8:30 pagi KKB 2012 bergerak meninggalkan Kudat menuju Kota Belud, lalu ke Kundasang dan Ranau. Gunung Kinablu bersembunyi di balik awan. Udara dingin di pergunungan. Konvoi kami sampai di Ranau mengikut jadual. Rombongan KKB 2012, ramai yang belum mengunjungi Sandakan, Lahad Datu dan Tawau dalam tempuh dekat.

Makan, minum dan penginapan disediakan oleh penganjur. Penghormatan yang diberikan kepada tokoh-tokoh sastera dan budaya. Dari Kudat, Negeri Dua Ganding, kami meluruh ke depan, ke timur,

Sandakan, sebuah Bandar yang terkenal dengan sejarah “Long March” dan pembantaian tentera-tentera Australia dalam Perang Dunia Kedua. Kami menginap di Sabah Hotel. Pada sebelah malam, di Dewan Masyarakat Sandakan, ada acara dibuat dengan makan malam dan pelbagai acara dari pertunjukan drama kanak-kanak, persembahan tarian dan lagu puisi.

Sdr Awang Karim Kadir dan Sdr Awang Radlen, menyanyikan lagu puisi. Jelas, lagu-lagu puisi memang mendapat tempat di hati pendengar. Sdr Ramli AR dan Sdr Bob Sherman Ali, Tokoh Sastera dan Budaya, turut memeriahkan acara malam itu dengan lagu pilihannya sendiri. Acara penutup malam itu pembacaan puisi oleh Haji Osman dan Sdr Sabahuddin Senin mendeklamasikan pusinya, “Kaum Belia, Salam Eidil Adha 2012.

Di sebelah pagi sebelum bertolak ke Lahad Datu,  pelancaran Kembara Bahasa 2012. AM Fajeer, Tokoh Sastera Budaya dari Persatuan Warisan, mendeklamasikan puisinya. Semangat beliau masih tetap terasa. Melalui aktiviti seperti ini akan dapat
Memanggil dan menarik tokoh-tokoh sastera budaya setempat dan mengambil perannya.

Sandakan, ditemuimu antara Pulau Berhala dan Buli-buli Sim-sim (dedikasi pada Kembara Bahasa 2012)


Melihatmu dari dekat
terasa melihat diri ini telanjang
kekadang terlupa, rupanya
aku telah berada di halaman
sendiri.

Malam itu
aku rendahkan telinga
ke pusar bumimu
dan melihat kunang-kunang
mencari beritamu.

Aku asing di tanah ini
tak mungkin, halaman ini
aku pernah bermain.
luka lara dan
tawa masih tersimpan
antara Pulau Berhala dan
Buli-buli Sim-sim.

Di hujung jembatan
ada se
orang anak melihat
purnama penuh 
terangkat
perlahan naik ke atas.
Matanya tak bergerak
memandang tetap
seakan dirinya
melebarkan kepaknya
terbang bersayap ke langit
lalu hinggap di dahan rembulan.
Ketika ditemui diri redah
ia terbang
menuruni benua dan lautan.
Melayang-layang dalam udara.
Jiwanya masih ingin
merondah galaksi.

Seorang anak di hujung jembatan
tersenyum sendiri.
Laut tenang.

Kalau aku ada selaksa kata
akan disemat padamu, tiap
bintang, supaya kau dapat
menghidupkan impian.
Memang di situ, ada artifact
dan seorang anak di hujung
jembatan pernah ke sana.

Sandakan,
akan selalu menjadi pepohonan rendang
mendambakan cahaya dari tangan
yang kasih. Lalu dalam keindahan
bahasa, selalu ada harapan dan impian
dari bumimu.

Sandakan
2 November, 2012

KKB 2012, meneruskan perjalanan ke Lahad Datu. Mendung berat di sepanjang perjalanan. Bandar Lahad Datu yang ingin menjadi Kotaraya ini kelihatannya pmenerima Konvoi. Selama perjalanan KKB, 2012, reaksi setempat tetap meransang supaya kegiatan-kegiatan serupa ini di masa mendatang akan dapat dijanakan dengan penglibatan semua golongan. Kerana kejayaan Kembara Bahasa ini adalah kegiatan murni, di dalamnya ikut golongan muda, pemimpin, pelajar, mahasiswa, para birokrat, semua suku-kaum, dan aktivis-aktivis bahasa, budaya dan sastera.

Bertempat di Dewan Masyarakat Lahad Datu, sambil mengecap hidangan yang enak
penonton malam itu dapat melihat persembahan tempatan berupa tarian, Koir dari sekumpulan wanita Lahad Datu, menyanyikan ‘Lagu Bahasa Jiwa Bangsa.’ Kemudian persembahan dari KKB 2012, Sdr Juri Durabi dan Sdr Ameni Gawis mendeklamasikan puisi-puisi mereka. Sambil bersantap, mendengar amanat,’memartabatkan bahasa’ dan menonton deklmasi puisi.

Kita harus mencipta impian (dedikasi kepada kembara bahasa 2012)

Kita tak saling mengenal
tapi bisa mengucapkan salam
Lahad Datu, kau punya impian
dari sebuah desa, menjadi pekan,
dari pekan kepada bandar dan kotaraya.

Di sini, kita harus mencipta impian
sekalipun punya segenggam tanah
atau perigi di halaman. Ma, bermimpi
anaknya pulang selamat dari rantau.
Penyairmu bermimpi, huruf-huruf
menjadi kata-kata dan bait-bait puisi.

Aku tak meminta lebih darimu
dan kau pun tak perlu bersusah
payah mengenal kami. Ketika
orang lain sibuk pada pembangunan,
kami memartabatkan bahasa dan
mencipta balada perjuangan.

Kami tak akan berhenti di sini.
esok kami terus mengingatkanmu
dengan bahasa paling mudah
tapi jiwanya lambang hidup
impian anak segala bangsa.

Lahad Datu
3 November, 2012.

Perhentian terakhir dari KBB 2012 ini  ialah Tawau.  KKB 2012, berada di Tawau selama dua malam. Seperti di Sandakan, di Tawau juga KKB 2012, disambut dengan barisan kereta-kereta yang telah menunggu KKB 2012 di luar Bandar kemudian mengiring KKB sampai ke Rumah Anak Yatim Arraudhoh. KKB 2012 disambut oleh Anak-Anak Yatim Arraudhoh.

Setelah makan tengahari dan berehat sebentar, acara dimulai dengan ucapan dari Dr. Haji Awang Bin Sariyan. Sdr. Ramli AR membaca puisinya dan Sdr.Sabahuddin Senin membacakan puisinya, “Nasihat Ayah kepada Anak lelaki”.

Malam penutup Kembara Bahasa ini diadakan di Hotel Promenade Tawau. YB Datuk Haji Tawfiq Datuk Haji Abu Bakar Titingan,  Pembantu Menteri Kewangan telah memberi sokongan penuh terhadap projek memartabatkan Bahasa Melayu Bahasa Kebangsaan.  Beliau mempunyai rasa akrab kepada tokoh-tokoh sastera dan budaya  di negeri ini.  Kedekatan dari tokoh-tokoh pemimpin akan banyak membantu kejayaan jangka panjang projek seumpama ini kerana sokongan ini  akan memberi semangat dan menjiwai  dalam sukma rakyat.  Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan kepunyaan Bangsa Malaysia.

KKB 2012 telah meninggalkan kesan yang besar dan mendalam. Perjuangan memartabatkan bahasa bukan perjuangan sepenggal tetapi perjuangan panjang yang selalu didokong oleh pengorbanan yang tulus dari anak bangsa dan generasi mendatang.  Lalu puisi di bawah ini ditulis buat anak bangsa yang akan membuktikan dan kebenaran impian masa depan.

Biar kau sentuh sukma angkasa rayamu

Aku meluncur ke angkasaraya
melihat bumi seperti sebiji telur
kebiru-biruan dan sentuhan warna putih.
terasa kini telah lepas dari graviti
memandang ke depan, aku berangkat
satu misi. Bumi sayang, kesabaranmu
sejak masa silam. Sekarang kau masih,
masih menyerap dan memberi.
Sejak dulu, anak adam menafsirkan
kata-kata, kekadang mencederai
kemanusian sejagat. Setelah keruntuhan
dibangunkan lagi sebuah peradaban,
dan menyanyi kata-kata, melahirkan
puisi menjadi kegemilangan bangsa.
Ke mana saja aku pergi, tetap masih
berbau tanah. Dan aku tak akan
melupakan air bening  dan udara gunung.
Laut dan malammu, kedamaian
meraih-Mu. Meninggalkanmu,
bumi kesayangan bukan melupakan.
Biarkan perjalanan ini, berangkat
dari kesedaran dan ilmu. Menjangkau
angkasaraya dengan sukma. Kejauhan
itu tak terasa, kerana aku akan menulis
dalam gaya bahasa dalam bait-bait
puisi yang indah. Biarkan ada yang
melakukan langkah permulaan. Tiap
perjuangan dan pengorbanan harus
ada mentor dan tokoh-tokoh  yang
berjiwa bumi. Kini, aku memulai
kembara ini, kalau tidak sekarang
nanti, biar kau sentuh sukma
angkasarayamu dan ia pasti memberi
reaksi sebagai seorang sahabat
dalam era kemerdekaan, satu
bahasa, satu bangsa dan satu negara,
Malaysia.

Tawau
5 November, 2012
*Disiarkan dalam Utusan Borneo,  Ahad, 11 November 2012/B5